Thursday, November 5, 2009

ARTIKEL WAHABI: MENILAI SEMULA KENAJISAN BABI

Share
Doktrin Babi Yang Menyusahkan Umat Islam

Maszlee Malik, UIAM.

Umat islam melalui para mujtahidinnya telah berijmak bahawa daging babi adalah haram untuk dimakan seperti yang telah dikatakan oleh Ibn Mundhir dalam bukunya
"Kitab al-Ijma’" (Lihat : al-Husni, Kifayatul Ahyar, Beirut : Dar al-Khayr, m.s. 70). Ini berdasarkan firman Allah S.W.T dalam al-Quran, (surah al-An'am : ayat
145) . Ayat tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa daging babi adalah haram untuk dimakan. Para ulama juga telah bersepakat bahawa anggota lain dari babi
seperti tulang, kulit, lemak dan juga darahnya adalah haram untuk dimakan. Hanya Ibn Hazm al-Zahiri sahaja yang mengatakan anggota selain daging babi adalah
halal dimakan. Pendapat ini walaubagaimanapun adalah pendapat yang syadh (ganjil) dan tidak diterima oleh jumhur (majoriti) umat islam.

Para ulama islam juga bersepakat tentang kenajisan daging babi dan juga segala yang bersumberkan babi. Walaubagaimanapun mereka berselisih pendapat dalam tiga perkara, yang pertama dalam kategori najis apakah ia najis mughallazah ataupun mutawasitah. Yang keduanya, cara bagaimanakah untuk menyucikannya, dan ini bergantung kepada kategori manakah ianya dianggap sebagai najis. Yang ketiga , mereka juga berkhilaf samada kulit babi, rambutnya dan juga tulangnya dan mana – mana bahagiannya adakah boleh digunakan setelah disucikan melalui proses dibagh
(samak dengan air kapur).


Jumhur ulama berpendapat ianya tegolong dalam najis mutawasitah yang hanya memerlukan basuhan sekali sahaja jika tersentuh dengannya. Ianya sama seperti
kenajisan darah, luka, nanah, tahi dan juga kencing. Bagi Imam al-Syafie pula, beliau berpendapat bahawa ianya adalah najis mughallazah yang sama sifat kenajisannya dengan anjing yang memerlukan tujuh kali basuhan, dan sekali basuhan dengan air tanah (al-Sya'rani, al-Mizan al-Kubra, Beirut : Dar al-Kutub al-'Ilmiah, Cetakan Pertama, 1998M, jil. 1, m.s. 138).Pendapat inilah yang
menjadi pegangan majoriti pengikut mazhab Syafie, kecuali Imam al-Nawawi dan juga yang bersependapat dengan al-Nawawi (al-Nawawi, al-Majmu', Beirut : Dar
Ihya al-Turath al-Arabi, jil. 4, m.s. 604).

Mengenai isu pengunaannya pula, jumhur ulama melarang pengunaannya samada sebagai perhiasan, beg, kasut, pakaian dan sebagainya kerana ianya adalah najis (walaupun mutawasitah) . Bagi sebilangan ulama Malikiyyah, Abu Daud al-Zahiri dan juga al-Syawkani, mereka melihat tidak ada kesalahannya untuk menggunakannya jika ianya telah melalui proses dibagh (ibid).

Yang menjadi pokok perbincangan di sini ialah mengenai kenajisannya dan juga cara menyucikannya yang menjadi satu bebanan kepada umat islam di Malaysia dan juga dalam sesetengah keadaan menjadi benteng pemisah selamanya antara kaum di Malaysia.

Doktrin yang membebankan ini sebenarnya hanyalah ijtihad Imam Syafie yang mengqiyaskan kenajisan babi dengan kenajisan anjing dengan kaedah "qiyas awla"nya (al-Syafie, Kitab al-Umm, Beirut : Dar Marifah, 1393H, jil. 1, m.s. 9). Logiknya menurut beliau, jika anjing yang tidak disebut pengharamannya secara jelas di dalam al-Quran wajib disucikan kenajisannya dengan cara samak (tujuh kali basuhan dengan basuhan pertamanya menggunakan tanah berdasarkan hadith riwayat Abu Hurairah yang direkodkan sahih oleh Muslim di dalam kitabnya al-Jami' al-Sahih atau sahih Muslim, Beirut : Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil. 1 m.s. 161), maka babi yang telah diharamkan secara jelas di dalam al-Quran
lebih utama untuk disucikan kenajisannya dengan cara tersebut.

Atas dasar inilah majoriti pengikut mazhab Syafie sehingga ke hari ini menganggap kenajisan babi adalah sama atau lebih berat dari kenajisan anjing. Bagi jumhur (majoriti) umat islam pula hadith Abu Hurairah yang berkaitan dengan cara menyucikan kenajisan anjing jika anjing adalah semata - mata untuk anjing dan bukan untuk selainnya. Menurut mereka pengharaman daging babi (surah al-Maidah (5): 5) adalah berkaitan dengan persoalan makan dan tiada kena mengena dengan cara menyucikannya. Tambahan pula dalam ayat tersebut bukan hanya daging babi yang diharamkan, bangkai dan juga darah disebutkan bersama dengannya. Mengapa qiyas yang sama tidak digunakan untuk menggolongkan darah dan bangkai bersama anjing dan babi sebagai najis mughallazah ?

Yang lebih menarik lagi Abu Hurairah juga telah meriwayatkan hadith yang menunjukkan cara menyucikan bijana yang dijilat kucing dengan 3 kali basuhan. Mengapa tidak kucing pun digolongkan dalam najis mughallazah juga? Kesimpulannya ijtihad ataupun pendapat Imam Syafie dalam persoalan cara menyucikan najis babi adalah tidak kuat dan tidak konsisten. Terdapat juga di kalangan imam mujtahid dalam mazhab Syafie yang menyangkal pendapat beliau dan bertegas menyatakan bahawa cara penyucian kenajisan babi adalah cukup sekadar basuhan sahaja sepeti najis - najis mutawasitah yang lain (kencing, tahi, darah dan bangkai). Antara yang terkenal dengan pendapat sedemikian ialah Imam al- Nawawi (lihat : al-Nawawi,opcit, jil. 4, m.s. 604 ). Pendapat beliau ini adalah sama seperti pendapat majoriti umat islam dan amat bertepatan dengan dalil.

Sayangnya sebilangan besar pengikut mazhab Syafie termasuklah majoriti umat islam di Malaysia amat berpegang kuat dengan pendapat Imam Syafie yang amat ganjil ini. Dalam keadaan kehidupan bersama rakyat berbilang bangsa dan juga dalam keadaan musafir ke negara di mana umat islam adalah minoriti doktrin ini
amat membebankan umat islam. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ianya akan semakin menjauhkan bukan islam dari islam, malah di kalangan umat islam sendiri pun akan jauh dari islam kerana doktrin ini.

Sebagai contoh yang amat melucukan ialah bagaimana sebuah restoran milik bukan islam yang telah dibeli oleh seorang peniaga muslim sekitar tahun 90'an di Pahang. Majalah al-Islam telah merakamkan bagaimana mereka telah membasuh seluruh kedai tersebut dengan air tanah. Bayangkan bagaimana jika seseorang muslim membeli rumah pangsa atau kondominium dari seorang bukan islam ?, bagaimanakah dia ingin membasuhnya dengan air tanah , bayangkan lagi jika rumah tersebut di tingkat 30 ...pastinya pihak pengurusan kondominium tersebut akan mengamuk dan seluruh kondominium akan banjir!!

Antara yang menjadi bebanan juga ialah keadaan saudara baru yang masih tinggal dengan keluarganya. Sering kita dengar suara - suara sumbang yang menyuruh saudara - saudara baru untuk meninggalkan keluarga mereka. Mana tidaknya, doktrin babi al-Syafie mengatakan mereka tidak boleh makan dirumah kerana
pinggan mangkuknya ada najis dan mesti disamak. Rumahnya ada kesan babi, maka dia tidak boleh bersolat di dalamnya, emaknya dan bapanya makan babi, maka dia tidak boleh bersalaman apatah lagi mencium dan memeluk mereka. Bekas minum tidak boleh digunakan lagi kerana ada kesan babi, pendekata jika seseorang itu masuk islam bukan hanya agama dan akidah lamanya sahaja, malah dia terpaksa atau dipaksa untuk meninggalkan keluarga, rumah, saudara mara dan jika tidak keterlaluan ibu bapa mereka. Maka terjawablah persoalan mengapa tidak ramai orang bukan islam ingin memeluk islam!

Contoh yang lebih teruk lagi jika golongan yang mendokong doktrin babi al-Syafie ini ke negara majoriti bukan islam yang kuat makan babi seperti Jepun, Korea, Taiwan, Jerman dan negara - negara seumpamanya. Yang pasti mereka tidak akan boleh duduk di kantin, mereka tidak boleh makan di kedai - kedai makan
walaupun mereka tidak memakan babi, mereka tidak boleh tinggal di rumah sewa kecuali selepas disamak, mereka tidak boleh menziarahi rakan - rakan mereka yang bukan muslim dan akhirnya mereka hanya akan menjauhkan manusia - manusia lain dari islam itu sendiri. Relevan lagikah ijtihad al-Syafie yang semata - mata merupakan pandangan peribadinya sahaja yang boleh jadi salah ?

Persoalan ini memerlukan jawapan segera terutamanya dari kalangan ustaz - ustaz generasi baru yang telah terdedah kepada pembelajaran "Fiqh Muqarin" dan
berfikiran terbuka. Penyelesaian segera demi menyelamatkan umat islam di Malaysia dari terus dibebani dan disusahkan dengan doktrin babi al-Syafie.

Source > http://scripters.ning.com/forum/topic/show?id=2386880%3ATopic%3A218499&xgs=1

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More