Thursday, August 5, 2010

Hadith Dha’if: Nilai Dan Status Guna Pakai Sebagai Dalil Ibadat

Share

Ilmu Mustalah Hadith ada 3 kategori iaitu, Sahih, Hassan dan Dha’if. Bagi tiap kategori dijelaskan jenisnya, syarat-syarat yang harus dipenuhi oleh perawi ataupun matan Hadith. Dengan demikian dapat diketahui riwayat yang cacat, mudharib, Syadz, ditolak ataupun ditangguhkan hingga diperoleh perbahasan lain yang menguatkan atau melemahkannya. Di samping itu dibahas pula tentang tata cara menerima, mempertimbangkan dan menetapkan kedudukan Hadith, tingkah laku perawi ataupun penerimaannya.

Pembahagian Hadith

Hadith yang Maqbul: Diterima sebagai dalil dan sumber hukum dalam beramal.

Hadith yang Mardud: Ditolak sebagai sumber hukum dan pedoman dalam beramal.

Hadith yang Maqbul ada 4:
  • Hadith Sahih Lizatih
  • Hadith Sahih Lighairih
  • Hadith Hasan Lizatih
  • Hadith Hasan Lighairih
Hadith yang Mardud secara umum ada 1 iaitu Hadith Dha'if (Hadith yang lemah) ; kerana sanadnya ada yang gugur atau kerana perawinya berillat (cacat).

Sanadnya ada yang gugur (Tidak Bersambung)
  • Contoh: "Telah memberitakan kepada kami Husyaim dari Yazid, dari Yahya bin Sa'id dari Amr bin Syu'ib, ia berkata: Telah berkata Umar: Kalau tidaklah kerana aku mendengar Rasulullah berkata: "Tidak ada sesuatu warisan bagi si pembunuh itu, nescaya aku jadikan engkau ahli waris". Amr bin Syu'ib berkata: "Umar memanggil saudara laki-laki dari ibu yang terbunuh itu, lalu dia berikan unta kepadanya." Rawi yang ada dalam sanad hadith ini ialah Husyaim dan Yazid, Yahya bin Sa'id, Amr bin Syu'ib dan Umar. Kalau kita perhatikan sejarah tersebut, maka kita ketahui bahawa Amr bin Syu'ib tiada pada zaman Saidina Umar. Bagaimanakah Amr bin Syu'ib boleh menerima hadith dari Saidina Umar? Tentulah dengan perantaraan laki-laki yang tidak disebutkan namanya. Siapakah dia dan bagaimanakah sifatnya? Adakah dia seorang yang boleh dipercayai atau tidak? Dengan sebab inilah hadith ini dinamakan Dha'if kerana tidak bersambung sanadnya.
Perawinya Berillat (Cacat)
  • Rawinya bukan Islam
  • Belum baligh
  • Berubah akalnya
  • Tidak dikenal orangnya atau sifatnya
  • Sangat buruk hafalannya
  • Selalu lupa
  • Suka menyamarkan nama rawi
  • Fasik tetapi tidak sampai kepada batas kufur
  • Riwayatnya menyalahi riwayat orang yang masyhur
  • Suka mengerjakan dosa
  • Dituduh pendusta (mencipta hadith Maudhu' yakni hadith palsu)

Syarahan Fadhilat al-Syaikh Prof. Dr. Ali Jum`ah (Mufti Kerajaan Mesir) di bawah:
  • Meninggalkan semua hadith Dha'if adalah BID'AH
  • Hadith Dha'if boleh digunakan dengan beberapa syarat yakni ianya tidak boleh disandarkan 100% kepada Rasulullah S.A.W, ianya juga tidak boleh terlalu Dha'if, tidak ada hadith lain yang membicarakan tentang sesuatu bab melainkan ianya saja, ianya juga tidak bercanggah dengan perkara2 pokok dalam Islam dan ianya juga boleh digunakan dalam Fadhailul A'mal.
  • Hadith Dha'if adalah diperlukan dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan akhlak dan peribadi yang mulia. Contohnya: “ Sesungguhnya Allah mencintai seseorang di kalangan kamu apabila dia bekerja, dia bekerja dengan penuh tekun.”
  • Antara contoh Hadith Dha'if yang digunakan sebagai dalil dalam hukum sesuatu perbuatan adalah seperti: “Rasulullah Sallalahu `Alaihi Wasallam melarang daripada menjual hutang dengan bayaran hutang.”
  • Orang yang cuba untuk menyebarkan fahaman bahawa Hadith Dha'if adalah ditolak sama sekali adalah orang yang jahil.
Syarat-syarat mengamal Hadith Dha'if:
  • Mereka yang beramal dengan hadith Dha'if itu mestilah yakin dan mempunyai iktikad bahawa apa yang ia amalkan adalah berdasarkan kepada hadith Dha'if.
  • Hendaklah perbuatan itu tidak disyariatkan dan tidak pula disyiarkan.
  • Hendaklah tingkatan Dha'ifnya itu tidak terlalu rendah atau buruk.
**Peringatan untuk semua meninggalkan hadith Dha'if adalah mendekati sunnah dan mengelak diri daripada amaran Rasulullah S.A.W “Sesungguhnya berdusta keatas diriku bukanlah sama seperti mendustakan kepada seseorang,maka sesiapa yang berdusta kepadaku dengan adanya kesengajaan, silakan mengambil tempat duduknya didalam api neraka.”

Pengamalan Hadith Dha'if:
  • Boleh diamalkan menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah dalam muqaddimah hadith arba’innya.
  • Semua ulama telah sepakat membolehkan pengamalan hadith Dha'if dalam amalan-amalan yang utama.
  • Hadith Dha'if berbeza dengan hadith palsu atau hadith maudhu’.
  • Hadith Dha'if masih mempunyai sanad kepada Rasulullah SAW tetapi terdapat kelemahan pada perawinya. Kelemahan ini tidak ada kaitan dengan pemalsuan hadith tetapi lebih kepada sifat yang dimiliki seorang rawi dalam masalah dhabit.

Hukum mengamalkan Hadith Dha'if

Ada tiga pendapat ulama dalam hukum mengamalkan hadith Dha'if ini.
  • Tidak boleh diamalkan secara mutlak samada dalam fadhail ataupun ahkam.
  • Boleh diamalkan secara mutlak.
  • Boleh digunakan dalam masalah fadha’il atau mawa’iz bila memenuhi beberapa syarat iaitu: Ibnu Hajar : 1. Hadith yang diriwayatkan itu tidak terlalu dha’if 2. Hadith dha’if itu termasuk dalam lingkungan hadith utama yang boleh diamalkan 3. Ketika mengamalkannya tidak menyakini bahawa ianya bersumberkan kepada Rasulullah S.A.W tetapi hanya sekadar berhati-hati.
Mengikut pendapat Dr.M.Ajaj Al Khatib, pendapat pertamalah yang paling selamat iaitu hadith dha’if tidak boleh diamalkan secara mutlak samada dalam fadhail ataupun ahkam kerana telah terdapat hadith-hadith sahih tentang Fadhail yang merupakan sabda Nabi SAW yang sangat banyak dan tidak perlu lagi meriwayatkan hadith-hadith dha’if .

Apakah hadith Mauquf dan Maqtu' merupakan sebahagian daripada hadith Dha'if

Sehingga ini kita tidak pernah mengkategorikan sesuatu hadith ke dalam bahagian hadith Dha’if melainkan hadith- hadith yang memang dikenali sebagai hadith Dha’if.

Hadith Mauquf : Hadith yang diriwayatkan daripada para sahabat samada dari segi kata-kata, perilaku atau pengakuan. Contoh : Perawi berkata “ Umar bin al Khattab berkata begini dan begitu, Ali bin Abi Talib berkata begitu dan begini atau ada orang yang berkata begini dan begitu dihadapan Abu Bakar lalu beliau mengakui dan tidak mengingkarinya.” Jadi, setiap perkataan , tingkahlaku dan pengakuan yang dianggap datang daripada Rasulullah SAW tiba-tiba datang melalui sahabat. Atas sebab inilah ulama mengatakan hadith mauquf adalah Dha’if kerana hadith yang datang dan berakhirnya daripada Rasulullah SAW sahaja yang boleh dikira sebagai suci tetapi jika ianya mencukupi syarat-syarat, ianya boleh dihukumkan sebagai shahih atau hasan.

Hadith Maqtu’: Hadith yang diriwayatkan oleh para Tabi’in samada perkataan, tingkahlaku atau pengakuan. Imam Abu Hanifah : “ Apa sahaja yang datang dari Rasulullah SAW maka wajib dijunjung , apa sahaja yang datang dari sahabat maka wajib kami memilihnya, manakala yang datang daripada tabi’in tiada keistimewaannya.” Kenyataan di atas menunjukkan bahawa hadith maqtu’ adalah hadith dha’if dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Berdasarkan ini aliran imam Abu Hanifah mengutamakan amalan dengan qias yang zahir berbanding dengan hadith maqtu’. Tetapi menurut pendapat yang terpilih hadith maqtu’ juga disifatkan sebagai hadith sahih, hasan atau Dha'if berdasarkan keadaan sanad dan matan hadith berkenaan.

Kesan hadith Dha'if terhadap kehidupan muslim

Hadith dha’if adalah hadith yang tidak mencukupi syarat- syarat hadith shahih sebagaimana yang diterangkan melalui kajian para ulama hadith. Ini menjadikan hadith dha’if adalah hadith yang tidak dapat dipastikan adakah ianya bersumberkan daripada Rasulullah SAW. Para ulama hadith menegaskan bahawa hadith dha’if tidak digunakan dalam soal hukum-hakam dan aqidah. Apabila ulama hadith mengemukakan pendapat tentang sesuatu hadith sebagai dha’if, mereka akan mengemukakan bersama hujjah atau bukti bahawa hadith itu dha’if. Sememangnya ada terdapat hadith dha’if yang tidak bercanggah dengan Al Quran dan hadith shahih. Dalam hal ini kita boleh menyebut lafaz dan maksud hadith tersebut dengan syarat kita tidak menyatakannya sebagai ‘ sabda Nabi’ atau ‘hadith Nabi’.

Namun kedapatan hadith dha’if yang membawa maksud yang bercanggah dengan apa yang telah ada di dalam Al Quran dan hadith shahih. Terdapat hadith dha’if yang menyusahkan dan membebankan. Ada juga yang membawa maksud yang pelik dan bertentangan dengan fakta dan logik akal. Syeikh Syuaib al Arnaouth : penggunaan hadith dha’if boleh membawa kepada sikap al ghuluw ( melampau ) dalam agama dan membanyakkan ibadah yang menyusahkan dan ini telah menghilangkan gambaran sebenar tentang mudahnya Islam.

Sekiranya ditemukan hadith dha’if oleh masyarakat dalam keadaan mereka tidak mengetahuinya dan menyangka hadith-hadith tersebut shahih, bagaimanakah agaknya pemikiran dan amalan mereka serta pandangan mereka terhadap Rasulullah SAW, hadith-hadithnya serta ajaran yang dibawa oleh baginda? Di sinilah terletaknya kepentingan mengetahui kesahihan sesuatu hadith dan membezakan di antara hadith-hadith sahih daripada hadith dha’if dengan cara bertanya kepada rakan yang lebih tahu, mencari pendapat ulama hadith yang tentang kesahihan terdahulu dan hadith masakini serta mengkaji sumber dan sanad sesuatu hadith terlebih dahulu.

Contoh hadith Dha'if : Solat Hajat

"Dari Abdullah bin Abi Auf, ia berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam: Barangsiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang dari Hani Adam (manusia), maka hendakIah ia berwuduk serta menyempurnakan (membaguskan) wuduknya, kemudian soIat hajat dua rakaat. Setelah selesai solat hajat hendaklah ia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Kemudian membaca doa hajat."

Menurut ulama hadith, hadith di atas ini lemah (Dha'if ). la dikeluarkan oleh Imam Tirmizi, oleh Imam Hakim dan dikeluarkan juga oleh imam-imam yang lain. Kelemahan hadith tersebut disebabkan oleh Faaid bin Abdullahrahman Abu al-Waruqa, dari Abdullah bin Abi Auf secara marfu'. Didapati sanad hadith ini sangat lemah kerana terdapat kelemahan terhadap Faaid bin Abdurrahman oleh sejumlah besar ulama' hadith (muhaddith). Di bawah ini dibawakan penjelasan oleh beberapa ulama hadith tentang Faaid bin Abdurrahman Abdul Waruqa'.
  • Berkata Imam Ibnu Ma'in: Dha'if dan bukan orang yang siqah (tidak dipercayai).
  • Berkata Imam Abu Daud: Tidak berguna (istilah bermakna lemah/perawi lemah).
  • Berkata Imam Nasaii: Perawi yang tidak thiqah
  • Berkata Ibn Hibban: Mungkarul hadith (hadith mungkar).
  • Berkata Imam Bukhari: Mungkarul hadith
Lagi contoh hadith Dha'if :

"Awal bulan Ramadhan adalah rahmat , pertengahannya keampunan dan akhirnya ialah pembebasan dari Neraka"

Hadith ini adalah Dha'if. Hadith ini sanadnya Dha'if, karena lemahnya Ali bin Zaid,
  • Berkata Ibnu Sa’ad: "Di dalamnya ada kelemahan dan jangan berhujjah dengannya."
  • Berkata Imam Ahmad bin Hanbal: "Tidak kuat"
  • Berkata Ibnu Ma’in: "Dha'if"
  • Berkata Ibnu Abi khaitsamah: "Lemah di segala penjuru"
  • Berkata Ibnu Khuzaimah: "Jangan berhujjah dengan hadith ini, kerana jelek hafalannya"
Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Abi Ad-Dunya, Al-Khatib dan Ibn 'Asakir. Kata Al-Albani: Hadithnya sangat Dha'if.

Adapun sangat banyak hadith sahih yang menyatakan tentang kelebihan,kerahmatan,dan diampunkan dosa di dalam bulan Ramadhan antaranya:

"Apabila datang bulan Ramadhan,telah dibuka pintu- pintu syurga,telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan"

HR Bukhari dan Muslim

"Barangsiapa yang berpuasa ramadhan penuh dengan keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah,maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu"

HR Bukhari dan Muslim

Kesimpulan
  • Salah satu Bahagian Ilmu Mustalah Hadith ialah Hadith Dha'if
  • Secara mudahnya Hadith Dha'if ialah Hadith yang lemah
  • Terdapat Perbezaan pendapat berkenaan dengan hadith Dha'if terutama dalam pengunaan hadith tersebut
  • Tidak semua Hadith Dha'if ditinggalkan
  • Hadith dha'if boleh diamalkan dalam hal keutamaan- keutamaan amal
  • Pengetahuan dalam membezakan diantara tingkatan tingkatan Hadith samada Hadith Sahih, Dha'if dan juga Maudhu perlulah ada dalam jiwa orang-orang Islam
  • Hadith Dha'if tetap Hadith, lemah tetapi bukan palsu. Hadith Maudu’ (palsu) bukan Hadith.

**Disusun dan diolah semula daripada Slide Share. Teguran, nasihat serta pandangan yang membina amatlah dialu-alukan.
والله أعلم

2 comments:

Yuni Aisyah said...

thanx adli sbb berkongsi ilmu..=)

LiNuX^MaS+Er said...

sama2..jika ada kesilapan atau kekurangan, teguran dan nasihat amatlah dialu2kan..:D

Related Posts with Thumbnails
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More