Wednesday, October 21, 2009

Seks : Keburukan Seks Bebas dan Kebaikan Seks Halal

Share
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الذى بنعمته تتم الصالحات , والصلاة و السلام على رسول لله , وعلى ءاله وصحبه ومن تبعه بإحسان الى يوم الدين , ام بعد


Segala puji bagi ALLAH, aku masih lagi mempunyai kesempatan untuk terus berkongsi sedikit sebanyak ilmu bersama sahabat-sahabat sekalian. Topik utama entri aku kali ini ingin menyentuh tentang Seks ; Keburukan Seks Bebas dan Kebaikan Seks Halal

Seperti yang semua maklum, setiap hari kita sering dikejutkan dengan berita pembuangan anak. Saban hari, ada saja kes-kes seperti ini dilaporkan. Lebih teruk lagi kebanyakan yang terlibat ada dari kalangan remaja. Pembuangan bayi dalam tandas, tong sampah, longkang, malah ada yang 'meninggalkan' anak mereka ini di dalam masjid. Apa dah jadi dengan umat manusia di zaman yang serba membangun ini? Semakin hari sudah semakin menjadi-jadi. Seakan-akan ianya sudah menjadi biasa bagi golongan yang tidak waras ini. Anak yang baru saja keluar kedunia ini dibiarkan keseorangan, terkontang-kanting sendirian. Semuanya hanya pandai menunding jari. Tapi pernahkan kita berfikir, kenapa ini semua boleh berlaku?

Gambar sekadar hiasan

Lihat gambar di atas. Pelajar buang bayi. Berita sebegini tidak asing lagi pada masa kini. Ada saja kes-kes yang terbaru terpampang di surat khabar setiap hari. Malahan, masalah ini kian meruncing sejak kebelakangan ini. Punca utama kes sebegini kian melarat adalah disebabkan cinta. Cinta yang berlandaskan nafsu serakah semata-mata. Cinta yang disulami dengan seks bebas. Golongan ini berpendapat jika cinta tanpa melakukan hubungan seks, ianya bukanlah dianggap cinta sejati. Nauzubillah, MasyaALLAH, begitu bahaya dan ceteknya pemikiran dan tanggapan seperti ini. Mereka ini beranggapan seks ini adalah perkara yang remeh dan tidak perlu diperbesarkan. Memang ternyatalah, apa yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sahihnya “Akan muncul daripada umatku yang menghalalkan zina, sutera bagi lelaki,minuman arak dan lagu-lagu yang melalikan.”


Gambar sekadar hiasan

Zina ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif (persetubuhan yang meragukan). Kes seperti ini sudah terlalu banyak dan semakin parah terutama di kalangan remaja Islam khususnya di Malaysia pada ketika ini. Namun, apa yang menyedihkan adalah, isu ini langsung tidak di pandang serius. Apakah fungsi Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama Islam jika masalah yang menjadi barah ini dibiarkan melarat? Walhal Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah Isra' ; 32 "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."


Gambar sekadar hiasan

Memang tidak dinafikan, seks merupakan fitrah yang dikurniakan pada setiap makhluk. Namun begitu, kita perlu sedar bahawa ianya perlulah disalurkan berlandaskan dengan apa yang telah ditetapkan oleh Islam itu sendiri dan bukannya berpaksikan hawa nafsu semata-mata. Islam menggangapnya sebagai satu fitrah yang sengaja Allah ciptakan pada manusia kerana disitu terdapat beberapa hikmah yang amat besar. Keinginan seperti ini bukanlah satu benda yang jijik dan jelek. Namun jika kita tidak mengikuti seperti apa yang diperintahkan oleh ALLAH dan melanggar syariat Islam barulah ianya jijik lagi menjelekkan. Antara jalan yang paling tepat untuk menyalurkan keinginan nafsu ini ialah dengan pernikahan. Sabda Rasulullah S.A.W “Wahai pemuda, siapa diantara kalian sanggup untuk bernikah maka nikahlah. Sesungguhnya dengan pernikahan, penglihatan akan lebih terpelihara dan kemaluan akan lebih terjaga.” (hadis Ibnu Mas’ud yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, At-Tirmidzi, dan An-Nasai. Perkataan sanggup dalam hadis tersebut bermakna berkemampuan untuk membiayai pernikahan dan memberi nafkah [Al-Muntaqa Min Kitab at-Aarhib wa Targib, Al-Qardhawi : 2/549 no 1095)

Dan Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda tentang adanya bentuk ibadah dalam perlakuan seks yang halal diantara suami dan isteri iaitu “Dalam perhubungan badan terdapat nilai sedekah” Sahabat bertanya “Wahai Rasulullah, apakah jika salah seorang diantara kami menyalurkan syahwatnya akan mendapat pahala?” Sabda Rasulullah “Bukankah apabila hubungan itu dilakukan dalam bingkai haram ia berdosa? Maka, jika dilakukan dalam bingkai halal ia akan mendapat pahala”.

Antara kesan seks bebas menurut perubatan moden antaranya ialah penyakit jangkitan seksual atau dikenali sebgai STD. STD bermaksud Sexually Transmitted Disease, dan penyakit ini kerap menjangkiti individu melalui seks bebas. Lebih kurang dua puluh jenis penyakit daripada kumpulan ini sudah dikenal pasti antaranya ialah, syphilis, gonorrhea, genital herpes, genital wart, trichomoniasis, bacterial vaginosis, ifeksi cytomegalovirus, infeksi Chlamydia dan yang paling berbahaya ialah AIDS.

Secondary Syphilis

Telah terbukti bahawa seks bebas tidaklah seindah seperti yang disangka oleh pasangan-pasangan yang diluar sana. Ianya lebih banyak mendatangkan kemudaratan. Disebabkan itulah Islam melarang keras umatnnya melakukan seks bebas atau lebih mudah disebut sebagai ZINA, dan digalakkan pula seks halal (bagi yang telah berkahwin). Firman Allah S.W.T "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman." Surah Al-Baqarah 2:223.

Antara faedah seks yang halal melalui perkahwinan ialah :

* Kedamaian hati - Menurut kajian perubatan moden ketika syahwat memuncak, badan seseorang akan mengeluarkan bahan kimia seperti endorphins yang berfungsi mencegah kesakitan dan mendatangkan ketenangan. Disamping itu sentuhan diantara suami dan isteri akan meransang pengeluaran bahan Oxytocin yang menghasilkan rasa tenang dan damai. Satu lagi kajian yang dilakukan oleh Majlis Penyelidikan Sains Manusia, sentuhan juga merangsang pengeluaran hormon serotonim yang meningkatkan daya ketahanan badan dan sekaligus mencegah seseorang daripada dijangkiti penyakit. (sumber News24.com, Why Sex is Good For You,Moipone Komane,12 Febuari 2001)

* Dan yang kedua ini pasti akan tersenyum,iaitu AWET MUDA. Ini dijelaskan oleh Dr david Weeks seorang pakar neuropsikologi dari Hospital Royal Edinburgh yang membuat kajian selama 10 tahun berhubungan kesan seks (yang halal) keatas kesihatan, mendapati mereka yang mengadakan hububungan seks lebih kurang 3 kali seminggu kelihatan 10 tahun lebih muda daripada mereka yang lain. Yang paling menarik ialah Dr Weeks mengatakan bahawa mereka yang betukar-tukar pasangan mereka tidak akan mengalami perubahan positif tapi ia akan mengalami perubahan negatif akibat daripada perbuatan betukar-tukar pasangan. (rujuk BBC News,Sex Keeps You young,10 March 1999).

Islam itu indah dan sentiasa memberikan yang terbaik kepada umatnya. ALLAH S.W.T Maha Merancang telah mengatur segalanya yang baik mahupun buruk kepada hamba-hambanya. Cuma kita sebagai hambaNYA perlu sentiasa beringat supaya tidak tersalah pilih ; jalan yang tidak diredhoi/dimurkai. Semoga dengan apa yang dipaparkan diatas sedikit sebanyak dapat membuka minda remaja-remaja diluar sana INSYAALLAH.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More