Thursday, December 30, 2010

Solat seorang wanita dan Lelaki cacat menjadi imam

Share Entri kali ini ditujukan kepada Jazz Anna yang bertanyakan 2 soalan kepada aku. Berikut adalah soalan-soalan beliau:-

  1. Seorang wanita itu lebih afdhol solat di rumah atau di masjid?
  2. Adakah seorang lelaki yang cacat (patah kaki @ memakai kerusi roda) boleh menjadi imam?
Terlebih dahulu, maaf dipinta atas kerterlewatan menjawab soalan saudari kerana faktor kesihatan. Disini saya ingin berkongsi, jika saudari ada pandangan yang lain, sila kemukakan..

Solat seorang wanita di rumah lebih baik daripada ia solat di masjid selagimana tidak ada tujuan di sebalik perjalanan ia ke masjid semata-mata untuk menunaikan solat. Contohnya seperti mendengar ceramah agama, pengajian ilmu atau mendengar bacaan al-quran daripada qari yang baik. Bagi tujuan-tujuan ini adalah lebih afdhol untuk mereka ke masjid.

Solat tarawih tidak diwajibkan ke atas kaum wanita dan tidak juga bagi lelaki. Bahkan hukumnya sunat dan mempunyai kelebihan yang amat besar di sisi Allah ta’ala. Diriwayatkan oleh Bukhari Muslim daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan bulan ramadhan dengan keimanan dan pengharapan, Allah akan mengampunkan segala dosanya yang lalu.”

Barangsiapa yang solat tarawih dengan kekhusyukan, ketenangan, keimanan dan penuh pengharapan, solat subuh tepat pada waktunya maka dia telah mendirikan ramadhan serta berhak mendapat ganjarannya.

Ini merangkumi lelaki dan wanita seluruhnya. Kecuali solat wanita di rumah adalah lebih baik daripada solat di masjid selagimana tidak ada tujuan lain selain solat seperti yang telah disebutkan tadi. Terutamanya pada zaman sekarang apabila si suami tidak dapat memberi kefahaman ilmu kepada si isteri. Apatah lagi apabila kaum lelaki tidak dapat memberi peringatan dan pengetahuan kepada isteri mereka. Maka tidak ada cara lain kecuali masjid yang perlu dijadikan sandaran. Bagi keadaan ini mereka perlu merebut peluang ke masjid dan tidak ada masalah di antara mereka dan masjid.

Lebih-lebih lagi bagi wanita yang tidak mempunyai minat dan kesungguhan untuk solat tarawih berseorangan apabila berada di rumah, berbeza jika ia berada di masjid dan beribadat secara berjamaah.

Gambar Hiasan

Bagi wanita yang keluar dari rumahnya walaupun ke masjid, mereka perlu mendapat keizinan daripada suami. Suami ialah ketua rumah dan keluarga. Memberi ketaatan kepadanya adalah wajib selagi mana suami tidak mengarahkan supaya meninggalkan perkara wajib atau tidak menyuruh melakukan maksiat. Dalam perkara ini isteri tidak perlu mendengar atau mentaati suami.

Suami tidak mempunyai hak melarang isteri mereka ke masjid selagi tidak ada sebab halangan yang kukuh. Dinyatakan di dalam hadis muslim bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Jangan kamu menghalang hamba(perempuan) Allah SWT dari masjid Allah SWT.”

Perkara yang menghalang mestilah muktabar dari segi syarak. Contohnya ketika suami sakit dan berhajat kepada isteri di sisi untuk menjaga dan memenuhi hajatnya. Atau pun mempunyai anak kecil yang mungkin merbahaya jika ditinggalkan keseorangan di rumah tanpa ada orang memerhatinya. Itu adalah beberapa contoh perkara yang menghalang atau kesempatan yang diterima akal.

Jika anak-anak yang dibawa bercakap-cakap dan mengganggu para jemaah yang sedang menunaikan solat dengan tangisan dan teriakan, maka tidak perlu membawa mereka bersama. Begitulah walaupun dibenarkan membawa anak-anak ketika menunaikan solat lima waktu kerana solatnya tidak lama, perlu dicegah lebih-lebih lagi pada solat tarawih dengan tempoh solatnya yang lama lebih kurang satu jam sehingga anak-anak tidak sabar dengan ibu-ibu mereka.

Adapun perbualan wanita di dalam masjid, perkara ini sama sahaja bagi lelaki. Tidak dibenarkan mengangkat suara tanpa sebab. Apatah lagi bercakap-cakap tentang dunia. Masjid tidak dijadikan untuk ini, tetapi untuk beribadah dan mendapatkan ilmu.

Bagi muslimah yang menjaga agamanya perlu mendiamkan diri ketika berada di dalam masjid sehingga tidak mengganggu orang yang sedang solat atau orang yang sedang berada dalam majlis ilmu. Jika berhajat untuk bercakap, mestilah dengan suara yang rendah setakat yang didengari, tidak terkeluar dari kehormatan dan kesopanan dalam percakapan, pakaian dan cara berjalan.

Suka kiranya saya mengatakan bahawa sebahagian lelaki melakukan banyak pembaziran ketika bersama wanita dengan menyempitkan sesuatu perkara ke atas mereka. Tidak menyokong fikrah bahawa perempuan boleh keluar ke masjid dengan meletakkan dinding kayu yang tinggi memisahkan lelaki dan perempuan dan mengatakan tidak wujud perkara ini di zaman Nabi SAW sehingga melarang wanita daripada melihat gerak geri solat imam kecuali hanya mendengar dengan suara. Jadi tidak hairanlah apabila kamu melihat kaum lelaki yang begini membenarkan diri mereka sendiri bercakap-cakap dan berbual di dalam masjid sehingga tidak membenarkan perempuan berbisik-bisik dengan jiran walaupun tentang urusan agama. Ini adalah pendapat yang tidak seimbang. Sifat cemburu yang keji ialah seperti yang disebut di dalam hadis: “Sesungguhnya cemburu itu adalah apa yang dibenci Allah dan rasulNya.” Ianya cemburu tanpa syak wasangka.

Kehidupan moden kini telah membuka ruang yang banyak kepada kaum wanita. Ada yang keluar dari rumah ke sekolah, jamiah, pasar dan banyak tempat lagi. Tinggallah kekosongan pada sebaik-baik tempat dan afdhol iaitu masjid. Saya menyeru supaya memberikan ruang kepada kaum wanita mendekati rumah Allah SWT demi mendapatkan kebaikan, mendengar peringatan dan mendapatkan kefahaman agama. Tidak mengapa walaupun di sebaliknya ada sedikit keseronokan bagi mereka tanpa ada maksiat selagimana mereka keluar dengan berkelumbung dan menjaga kehormatan jauh daripada tabarruj yang terlarang.

Syarat-syarat sah untuk seseorang itu menjadi Imam :

1) Islam, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang kafir.

2) Berakal, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang gila. Ini
kerana, solat yang dilakukan oleh orang yang disahkan gila tersebut
tidak sah. Tetapi jika gila itu bermusim maka solat ketika dia sihat
sah tetapi adalah dibenci. Ini kerana dikhuatiri penyakit gilanya itu
berulang ketika dia menunaikan solat.

3) Baligh, tidak sah solat yang diimamkan seseorang mumaiyiz kepada seorang yang baligh di dalam
solat wajib dan sunat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn
Abbas dan Ibn Masud, Janganlah diimamkan solat itu oleh seorang budak
sehingga dia baligh. Ini kerana solat itu adalah dalam keadaan
sempurna sedangkan budak atau kanak-kanak itu bukan daripada ahli yang
sempurna.Imam Syafie berpendapat, harus orang yang baligh menjadi
makmum kepada imam yang belum Mumaiyiz. Ini berdasarkan apa yang
diriwayatkan daripada Amr bin Salamah: Aku telah mengimamkan solat di
zaman Rasulullah s.a.w sedang aku adalah anak yang baru berumur tujuh
tahun. (Riwayat Bukhari)

4) Lelaki yang sejati sekiranya yang menjadi makmum itu adalah lelaki.Tidak sah solat yang diimamkan oleh
seorang perempuan atau khunsa bagi makmum lelaki sama ada solat fardu
atau sunat. Sekiranya yang menjadi makmum itu perempuan semata-mata
maka tidak disyaratkan lelaki menjadi imam bagi jemaah tersebut.

5) Bersih daripada hadas dan kekotoran. Tidak sah menjadi imam yang
berhadas atau orang yang terdapat najis pada badannya, pakaiannya sama
ada dia mengetahui hal tersebut atau lupa.

Gambar Hiasan

6) Baik bacaannya dan mengetahui rukun-rukunnya.Seseorang imam hendaklah baik bacaannya
kerana solat tidak sah melainkan dengan bacaan dan mengetahui
rukun-rukun solat. Tidak sah seseorang qari menjadi makmum kepada
seseorang yang buta huruf (jumhur) dan wajib bagi qari mengulangi
solatnya. Seperti mana keadaannya tidak menjadi makmum kepada seseorang
yang tidak mampu rukuk, sujud atau tidak boleh duduk ataupun tidak
mampu mengadap kiblat.

7) Keadaan yang bukan makmum.Tidak sah solat makmum mengikut makmum lain sebagai imam. Mengikut seseorang yang
sudah terputus dengan imamnya disebabkan masbuk:i- Al-Hanafiah: tidak
harus menjadi seseorang masbuq itu sebagai ikutan kerana dia telah
mengikut (makmum). Oleh yang demikian, yang diikut tidak boleh
diikuti.ii- Al-Malikiah: tidak harus menjadikan seseorang yang masbuk
itu sebagai ikutan kerana dia tadi mengikut (makmum). Namun adapun yang
mudrik (tidak sempat rakaat bersama imam boleh diikuti apabila dia
bangkit untuk menunaikan solatnya dan hendaklah mudrik yang tidak
sempat rakaat tadi berniat menjadi imam. Kerana ketika itu dia sedang
solat berseorangan dan tidak thabit hukum makmum.iii- Al-Syafieyyah:
terputus ikutan / menurut imam dengan semata-mata keluarnya imam dari
solat sama ada dengan memberi salam atau dengan sebab terbatalnya
wuduk. Ini kerana terkeluarnya dari ikatan di antara imam dan makmum
maka pada ketika itu dia boleh mengikuti orang lain yang ganti imam
atau orang lain yang mengikutnya sebagai imam.Kesimpulannya :
al-Hanafiah dan Malikiah tidak mengharuskan mengikut seseorang yang
asalnya mengikut selepas imam memberi salam, dan harus pada
Al-Syafieyyah dan al-Hanabilah. Ini adalah lebih utama.

8) Syarat khas pada al-Hanafiah dan al-Hanabilah: sejahtera daripada
keuzuran.Tidak lawas ketika buang air, kerap terkentut dan batuk makruh
ke atas orang yang mempunyai penyakit-penyakit ini menjadi imam.
Sekiranya seseorang yang mempunyai satu keuzuran adalah lebih utama
menjadi imam daripada orang yang mempunyai dua keuzuran.Adapun pendapat
al-Malikiah tidak mensyaratkan syarat ini tetapi dihukum makruh menjadi
imam selagi mana tidak terbatal wuduknya.Begitu juga pendapat bagi
Al-Syafieyyah tidak mensyaratkan syarat ini dan sah menjadi imam orang
yang mempunyai keuzuran ini dan tidak perlu mengulangi solat tersebut.

9) Imam mesti seorang yang fasih al-lisan.Mampu menyebut huruf-huruf di dalam al-Quran dari makhrajnya.

10) Al-Hanafiah dan Al-Syafieyyah mensyaratkan supaya solat itu diimamkan
oleh orang yang bermazhab yang sama dengan makmum.Sekiranya seseorang
yang bermazhab Hanafi solat di belakang seorang imam bermazhab Syafie
yang mengalir darah pada tubuhnya dan tidak berwuduk selepas itu atau
solat seorang yang bermazhab Syafie di belakang seseorang bermazhab
Hanafi yang menyentuh perempuan dan tidak berwuduk, maka solat makmum
itu batal kerana setiap mazhab melihat kepada batalnya solat imam itu
tadi.Al-Hanafiah berpendapat solat di belakang imam yang bermazhab
Syafie adalah makruh.

Pada pandangan saya sekiranya lelaki itu memakai kerusi roda sekali pun, namun cukup serta lengkap seperti syarat-syarat diatas, boleh untuk dia menjadi imam. Waallahu a'lam.

**Jika terdapat kesalahan dengan jawapan yang diberikan, diharapkan sahabat-sahabat sekalian dapat membetulkan kesalahan itu.

1 comments:

Yuni Aisyah said...

entry yg sgt bermanfaat..thanx adli diatas perkongsiannya..

Related Posts with Thumbnails
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More