Friday, August 20, 2010

Gelisah..

Share
Tatkala tirai malam mula berlabuh, aku masih lagi segar bugar di alam maya ini. Jari jemariku ligat bermain di keyboard. Keluh kesah serba tak kena. Mengapa hati ini masih gundah gulana? Walhal di waktu sebegini, telah ramai yang sudah hanyut dibuai mimpi. Perasaan cemburu mula menyerang diriku apabila melihatkan sahabatku telah nyenyak ditelan waktu. Fikiranku melayang sejenak, memikirkan kembali, apa yang membuatkan kalbu ini tidak senang. Aku mula bermuhasabah. Dosa apakah yang telah aku lakukan pada hari ini? Ya ALLAH, Engkau ampunilah hambamu yang serba dhaif lagi hina ini. Sesungguhnya aku tidak dapat lari dari membuat dosa.

Di penjuru kamarku, sayup kedengaran lagu dendangan kumpulan In-team yang bertajuk 'Pemergianmu'. Tanpa ku sedari, gugur titisan air mata jatuh ke bumi. Aku sedikit terusik dengan lirik lagu tersebut. Secara spontan aku terbayangkan saat pemergian Rasulullah S.A.W. "Layakkah aku untuk berada disampingmu ya Rasulullah? Engkau sentiasa menyintai ummat mu tapi aku? Aku dahulukan rasa kasih bukan kepadamu. Aku sentiasa leka untuk berselawat kepadamu sedangkan Engkau senantiasa mendoakan kesejahteraan ummatmu" Maha kerdilnya diri ini jika hendak dibandingkan dengan sahabat-sahabatmu seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A, Saidina 'Umar Al-Khattab R.A, Saidina 'Uthman bin 'Affan R.A, Saidina 'Ali bin Abi Tolib R.A, Thalhah bin 'Abdullah R.A, Zubair bin 'Awwam R.A, Sa'ad bin Abi Waqas R.A, yang merupakan sahabatmu yang dijamin syurga.

Siang makin mencemburui malam. Waktu berlalu begitu pantas. Di sepertiga malam ini, ada yang enak diulit mimpi, ada yang membanting tulang mencari rezeki, dan kedapatan juga yang menghabiskan malam-malam mereka sujud menghadap Ilahi. Namun aku masih disini, bermuhasabah diri. Mencari salah dan silap serta cacat cela perbuatanku pada hari ini. Seraya aku terbayangkan wajah-wajah suci, insan-insan kesayanganku. Insan-insan yang merupakan tulang belakangku untuk aku terus berdiri teguh mengharungi kehidupan yang serba mencabar. Segera aku panjatkan doa kepada mereka; "Ya ALLAH, Kau permudahkan segala urusan mereka ketika di dunia mahupun di akhirat kelak. Engkau tempatkanlah mereka dikalangan orang-orang yang mendapat keredhaanMu. Hanya kepadaMu aku memohon."

Mungkin masih ada saki baki dosa aku sesama manusia di luar sana? Mataku mulai kabur. Namun hatiku masih tidak tenteram. Seraya aku teringatkan sepotong ayat quran "Ala bizikrillahi tatmainnul qulub." Lantas aku mempercepatkan langkah untuk menghabiskan malam ini dengan mengingatiNYA dengan harapan agar diri ini lebih tenang untuk masuk ke kamar. Kepada yang mengenali diri ini, sekiranya aku pernah melakukan kesalahan, aku memohon ampun dan maaf pada bulan yang mulia ini. Sesungguhnya, aku adalah hamba yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Salam kemaafan.

Assalamualaikum.

3 comments:

Yuni Aisyah said...

terdetik rasa sayu dan keinsafan bila membaca luahan DS nie..=(

LiNuX^MaS+Er said...

sama2lah kita menginsafi diri ini sebelum terlewat..selamat berpuasa yuni..:D

.::miEylo::. said...

kadangkala kite terleka dengan dunia sehingga kita alpa tentang apa yg sepatutnya kita lakukan..
jadi,renung2kan dan slmt beramal..
insyaALLAH..

*kuatkan semangat*
*apa yg telah berlaku,sudahpun berlaku.tiada apa yg bisa merubah dan berubah*
*ingatan yg diberi oleh ALLAH,kite kena bersyukur.jgn minta utk sesuatu yg mustahil tp bersyukurlah*

;D

Related Posts with Thumbnails
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More