
Sekali lagi aku menyambut Syawal tanpa kehadiran keluarga disampingku. Tatkala di pagi syawal, terasa begitu sedih dan hiba bila mengenangkan sanak saudara tercinta di tanah air. Kebiasaannya di pagi raya, selepas menunaikan Solat Sunat Eidulfitri, kami sekeluarga akan berkumpul untuk bermaaf-maafan. Bergenang air mataku bila terkenangkan situasi sedemikian. Namun, aku dengan segera memujuk diriku. Perjuangan aku masih belum selesai. Masih banyak lagi ranjau dan liku yang perlu aku lalui. Mungkin inilah antara mehnah dan dugaan yang harus dihadapi oleh seorang yang bergelar daie. Alhamdulillah, walaupun terpaksa beraya tanpa keluarga, namun aku bersyukur kepada ALLAH kerana mempunyai 'keluarga' kecil disini. Terubat juga rindu dan sedih yang mencengkam. Alhamdulillah, dengan kehadiran sahabat handai disisi, terasa kemeriahannya walaupun tidak semeriah menyambut Syawal bersama keluarga.
Setelah selesai menunaikan Solat sunat Eidulfitri secara berjemaah, sempat juga aku bermaafan sesama sahabat-sahabatku. Alhamdulillah, terasa seperti suasana di Malaysia kerana dapat berhimpun di kalangan sahabat masing-masing. Sekali lagi terubat kerinduan di hati ini. Kemudian kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama-sama.
Beginilah suasana beraya di perantauan. Walaupun tanpa sanak saudara, namun sahabat seperjuangan tetap bersama. Kepada sahabat-sahabat seperjuangan MAQAZ Shoubra, Kullu sanan waantum toyyibun. Maaf Zahir dan Batin jika terdapat salah dan silap samaada sedar ataupun tidak. Moga-moga kita semua pulang dengan kejayaan. Biarlah ibu-bapa kita menangis kerana kejayaan kita, jangan biarkan mereka menangis kerana kegagalan kita. Sama-samalah kita berdoa agar kita semua mendapat kejayaan dan sentiasa dia bawah naungan rahmat-NYA. Amin. Akhir kalam, moga-moga kita dapat lagi bersama menyambut Eidulfitri seperti ini.
2 comments:
salam aidilfitri ustaz rock :)
wsalam..huhu..imej je rock..hati kristal..hahahahaha..
Post a Comment